Hajjah
Kamariah bt. Alang Mat Nasid dilahirkan di kampung Lalang, Padang Rengas,
Perak pada tahun 1928. Dibesarkan di bawah asuhan ibu bapa yang kuat
berpegang kepada ajaran Islam dan mengamalkannya di dalam urusan seharian.
Di zaman kanak-kanaknya, beliau beresekolah sehingga darjah 5 di Sekolah
Melayu Padang Rengas dan turut belajar secara tidak formal di Sekolah
Agama Ad-Dinniyyah, Padang Rengas di bawah asuhan Datin Paduka Hajjah
Aishah Ghani iaitu bekas Ketua Wanita UMNO dan Menteri Kebajikan Masyarakat
Malaysia. Beliau menunjukkan minat yang sangat tinggi di dalam pelajaran
dan menyimpan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke Padang, Indonesia.
Walau bagaimanapun, ciita-cita beliau terhalang disebabkan oleh kemiskinan
dan kedatangan Jepun Pada tahun 1942.
Oleh
yang demikian, pada tahun tersebut, dalam usia 14 tahun, beliau telah
dikahwinkan oleh kedua ibu bapa beliau. Walau bagaimanapun, perkahwinan
tersebut hanya kekal sehingga tahun 1947 setelah beliau mendapat cahaya
matanya yang pertama. Pada tahun 1950, beliau telah di lamar pula oleh
sepupunya sendiri, Arshad bin Alang Abd. Hakim, yang pada ketika itu
adalah seorang duda yang kematian isteri dan mempunyai dua orang anak.
Perkahwinan mereka berkekalan sehingga kini dengan mempunyai tiga belas
orang anak kesemuanya, empat puluh enam orang cucu dan seorang cicit.
Pada
tahun 1950-an dan 1960-an adalah merupakan tahun-tahun yang amat getir
dan mencabar bagi kedua suami isteri tersebut. Di sinilah terujinya
kebijaksanaan , kesabaran dan keimanan Hajjah Kamariah sebagai isteri
dan ibu kepada sepuluh orang anak didalam menangani setiap permasalahan
yang mendatang. Rengekan anal-anak yang masih kecil serta desakan perbelanjaan
pelajaran anak-anak yang telah remaja sedikitpun tidak melemahkan semangat
beliau malah dengan doa yang diiringi dengan air mata yang tidak pernah
jemu dipanjatkan kepada Allah S.W.T menguatkan lagi semangat beliau
untuk terus berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh.
Selain
suami dan anak-anak, kerenah dan kepayahan membela ibu mertua yang telah
uzur berjaya ditangani oleh Hajjah Kamariah dengan bijaksana, malah
beliau berjaya hidup di bawah satu bumbung dengan aman dan bahagia selama
25 tahun bersama-sama dengan ibu mertuanya meninggal pada tahun 1975.
Demi meneruskan hasrat beliau tersebut, galakan, dorongan serta nasihat
sentiasa diberikan kepada anak-anak untuk berjaya di dunia dan di akhirat
diiringi dengan doa yang tidak pernah jemu dipohonkan kepada Allah S.W.T.
sehingga lapan daripada anak –anaknya berjaya ke peringkat universiti,
dua di peringkat maktab manakala tiga lagi bekerja selepas tamat persekolahan.
Kesibukan
beliau bekerja dan menguruskan anak-anak dan keluarga bukanlah alasan
untuk menghalang beliau menjalinkan hubungan dengan jiran-jiran dan
masyarakat. Selain daripada bersawah, beliau amat suka bercucuk tanam
terutama pohon buah-buahan dan berkebun di sekeliling rumahnya sehingga
pernah dianugerahkan sebagai "Johan Buku Hijau Kawasan" pada
awal tahun 70-an. Hubungan beliau dengan jiran sekampung adalah amat
baik dengan seringkali meluangkan masa untuk bersama-sama menghadiri
kuliah-kuliah gama atau turut sama membantu semasa majlis kenduri-kendara
diadakan.
Sifat
keibuan dan keterbukaan Hajjah Kamariah teserlah dengan beliau turut
mempunyai anak-anak angkat mualaf daripada bangsa Cina dan Negro yang
diperkenalkan oleh anak-anak beliau. Sehingga kini hubungan antara anak
angkat dan keluarga beliau masih tetap terjalin mesra.
Hajjah
Kamariah adalah merupakan contoh salah seorang ibu yang bersemangat
tinggi dan berusaha bersungguh sehingga dapat mengeluarkan keluarganya
daripada belenggu kemiskinan. Dengan didikan agama yang diterapkan ke
jiwa anak-anak melahirkan insan-insan yang bukan sahaja berpendidikan
tinggi, malah yang lebih penting beriman kepada Allah S.W.T. serta mengamalkan
ajaran Islam di dalam setiap urusan seharian.
Berkat
doa dan usaha beliau, kesemua anaknya telah berjaya di dalam bidang
masing-masing dan kini turut diwarisi oleh cucu-cucu beliau. Walaupun
anak-anak beliau kini berjaya dan beliau tidak perlu lagi bersusah-payah
seperti dahulu, sifat-sifat positifnya yang terdahulu terus dikekalkan.
Sumbangan wang yang diberikan oleh anak-anaknya seringkali pula akan
disumbangkan ke arah kebajikan dan membantu mereka yang memerlukannya.
Malah belaiu kerap kali menawarkan diri secara sukarela mengutip derma
untuk mendirikan masjid, surau dan usaha ke arah kebajikan demi memartabatkan
Islam. Kini, dalam usia yang kian meningkat, bakti dan tenaganya dicurahkan
hanya kepada Allah S.W.T. disamping menjaga suami yang semakin uzur.
Keperitan hidup beliau dahulu terbalas dengan kejayaan anak-anak dan
rezeki yang berpanjangan daripada Allah S.W.T. dan setiap kali doa dipanjatkan,
kini air mata kesyukuran pula yang mengalir.
|